BATU GAJAH – Kerajaan negeri komited untuk meneruskan sasaran membina 50,000 rumah mampu milik menjelang 2025 sejajar dengan matlamat untuk rakyat mempunyai kediaman.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, untuk itu kerjasama dengan pihak swasta akan dirancakkan sekali gus memacu ekonomi negeri pasca pandemik.

Menurut beliau, situasi pandemik Covid-19 bermula dua tahun lalu merencatkan industri perumahan yang sebelumnya tawaran bagi projek kediaman sentiasa baik.

“Tapi setelah itu kita lihat kembali, macam projek ini ‘sold out’.

“Kita punya persediaan ke arah 50,000 unit itu berjalan seperti biasa dengan keyakinan memang kita ada permintaan daripada pembeli-pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas melawat tapak projek Bandar Tasik Idaman di sini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan Team Keris Berhad, Datuk Lee Seng Hee.

Menurut Saarani lagi, pembangunan baharu itu kelak akan mewujudkan lebih banyak tarikan ekonomi dan infrastrukur bagi kemudahan rakyat serta komuniti perniagaan.

Team Keris Berhad dan Silverland Capacity Sdn. Bhd. melaksanakan projek pembangunan baharu dikenali sebagai ‘Canal City’ yang dijangka mengubah landskap Batu Gajah beberapa tahun akan datang.

Pembangunan kira-kira 130 ekar di Spanish Gardens by the Water berhadapan dengan Silverlakes Village Outlet kini kembali rancak apabila Perak memasuki fasa pemulihan.

Spanish Garden dibangunkan dengan kos RM500 juta manakala ‘Canal City’ antara RM1.5 bilion ke RM1.8 bilion.

Pada majlis itu, Team Keris Berhad turut menyumbangkan RM50,000 bagi mangsa banjir di Perak di samping RM50,000 lagi untuk program bantuan makanan asas untuk kumpulan miskin tegar.

Gambar- Suara Perak