TAPAH - Pengunjung yang sering menggunakan laluan Tapah ke pusat peranginan Tanah Tinggi Cameron pasti akan terpesona dengan satu tarikan baharu di bandar Tapah.

Diberi nama  ‘Tapah Street Arts Mural , karya seni ini diyakini akan dapat membangkitkan semula Bandar Tapah sebagai daya tarikan untuk dilawati oleh pengunjung dan pelancong yang akan singgah di Bandar Tapah, demikian ujar Exco Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

“Lokasi  Tapah Street Arts Mural ini merupakan laluan berhampiran Bandar Tapah untuk pelancong naik ke Cameron Highlands.

“Usaha ini juga merupakan satu inisiatif untuk menghidupkan lorong-lorong bangunan yang tidak terjaga tetapi selamat dan strategik. Ia juga mempunyai impak yang positif dalam memberi mesej melalui kaedah pendidikan yang disampaikan secara lukisan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan ‘Tapah Street Arts Mural dan Fun Map Batang Padangdi sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah, Muhamad Sahlan Husnin; Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Shahrul Aman Sabir Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia@MOTAC Perak Asrul Zakaria dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Perak, Zamari Muhyi.

Menurut Nolee Ashilin, Bazar Malam Seni  yang dianjurkan akan mewujudkan ruang dan peluang perniagaan kepada golongan belia serta dapat mewujudkan satu Pusat Hub Seni dalam Bandar Tapah bagi golongan remaja dan belia berkarya dan berkreatif.

“Saya berharap “Fun Map Batang Padang yang telah siap ini dapat dijadikan salah satu sumber rujukan kepada pengunjung serta pelancong yang datang ke Daerah Batang Padang.

“Dalam masa yang sama saya berharap agar tempat-tempat pelancongan dalam Daerah Batang Padang ini dapat diperkenalkan dan dipromosikan dengan lebih meluas tidak hanya dalam Malaysia malah ke peringkat antarabangsa.”