Pusat Sehenti Bela Nasib Gelandangan
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 777
IPOH - Satu pusat sehenti akan diwujudkan di Taiping bagi mengatasi masalah gelandangan di Perak dan dijangka bakal beroperasi Julai ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, pusat sehenti itu akan menempatkan 20 orang gelandangan pada satu-satu masa.
"Pusat sehenti ini diwujudkan selepas kejayaan operasi pusat penempatan gelandangan yang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
"Sejak sekian lama masalah gelandangan di bandaraya Ipoh tiada penyelesaian. Justeru, kita harus mencari jalan keluar untuk memastikan nasib mereka terbela,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan penutupan pusat penempatan gelandangan di Arena Badminton Ipoh baru-baru ini.
Pada 18 April lalu, pusat itu telah dibuka bagi menempatkan 89 gelandangan, sebagai salah satu langkah kerajaan negeri Perak untuk mengelakkan berlaku kluster gelandangan Covid-19.
Difahamkan, 10 orang daripada mereka telah diberi pekerjaan, adalah dalam kalangan mereka telah diambil waris masing-masing, ada yang dirawat di hospital dan ditempatkan di rumah-rumah kebajikan.
Menurutnya, selepas mereka dihantar ke pusat sehenti baru nanti, penerapan nilai-nilai disiplin dan berdikari di samping mengasah bidang kemahiran akan diberikan.
"Kita akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk mewujudkan pusat penempatan gelandangan seperti yang dirancang dan membantu mereka mencari pekerjaan yang bersesuaian,”ujarnya.