IPOH - 'Lemang Durian TT5' memang berbeza! 

Aromanya saja sudah cukup menceritakan kelazatan apatah lagi dinikmati dengan rendang tok atau kuah durian.

Pengarah Projek TT5, Azian Arif berkata, lemang durian dan seri muka durian adalah produk terbaru yang dihasilkan oleh komuniti setempat di Tanjung Tualang.

"Kita sedia maklum raja segala buah ini sememangnya popular dan menjadi kegemaran semua lapisan masyarakat.

"Kami mengambil pendekatan yang berbeza supaya setanding dengan citarasa masyarakat. 

"Sebelum ini, kita sudah biasa dengan lemang pulut hitam, dan lemang jagung.

"Kini, kita boleh merasai keenakan lemang durian yang pastinya lebih sedap dengan campuran isi durian segar bersama pulut yang menyelerakan. 

"Bagi kuih seri muka durian, kami gabungkan isi durian segar sebagai lapisan atas pulut dan ternyata sangat enak sesuai dijadikan juadah minum petang", katanya.

TT5 adalah singkatan bagi Tanjung Tualang Kapal Korek No 5 berusia 82 tahun yang digunakan untuk melombong bijih timah. 

Kapal korek peninggalan zaman British itu berada dalam kawasan Geogpark Lembah Kinta dan dipelihara rapi sebagai produk pelancongan bersejarah negeri Perak.

Kepada yang teruja untuk merasai kelazatan lemang durian, boleh menghubungi Azian Arif di talian 012-2793462 atau 014-9043255.