KUALA KANGSAR - Seorang penunggang motosikal berkuasa besar bersama pemboncengnya cedera apabila terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz di Kilometer (KM) 234 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini petang tadi.

Kedua-dua mangsa yang merupakan pasangan suami isteri itu berumur 50 dan 38 tahun.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.44 petang.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

"Setibanya di lokasi kejadian, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di mana sebuah motosikal berkuasa tinggi melanggar belakang Perodua Aruz.

"Akibat perlanggaran menyebabkan penunggang dan pemboncengnya tercampak dan mengalami kecederaan parah manakala motosikal berkenaan terbakar," ujar jurucakap tersebut.

Anggota bomba bertindak membuat pemadaman menggunakan air daripada tangki jentera sehingga api berjaya dipadamkan.

Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota paramedik sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai PBK II (KUP) Shuhairul Fahmi Ishak tamat sepenuhnya pada pukul 2.37 petang.