KAMPAR - Sebuah papan tanda maklumat baharu di tapak Pertempuran Kampar di Green Ridge di sini dipasang menggantikan papan tanda sebelumnya yang lesap dicuri pihak tidak bertanggungjawab bulan lalu.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad berkata, papan tanda tersebut dipasang bagi memudahkan kedatangan pengunjung semasa melawat tapak bersejarah itu.

Menurut beliau, ketiadaan papan tanda maklumat menyukarkan pengunjung untuk mengetahui serba ringkas sejarah pertempuran tersebut yang merupakan antara peristiwa penting semasa Perang Dunia Kedua.

"Kita mengambil inisiatif mendirikan papan tanda baharu dan kebetulan menerima sumbangan daripada pihak luar yang membiayai kos sebanyak RM1,000.

"Justeru, kita berharap agar kejadian kecurian tidak berulang lagi dan pada masa masyarakat setempat boleh menjadi mata sekiranya berlaku vandalisme," ujarnya.

Terdahulu, beliau bersama Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkefli mendirikan semula papan tanda maklumat ditapak bersejarah Pertempuran Kampar pagi tadi.

Kali ini papan tanda ditanam lebih dalam beserta penambahan dengan meletakkan logo 80 Tahun Sambutan Perang Dunia Kedua dan logo Geopark Lembah Kinta sebagai rakan kerjasama.

Dalam kejadian pada 3 Januari lalu, kehilangan papan tanda yang dipasang di tepi jalan utama Jalan Ipoh – Kuala Lumpur itu dipercayai dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh pihak MHG sebagai menunjukkan bahawa kejadian sedemikian adalah serius dan tidak boleh dipandang sebelah mata.

Dalam pada itu kata Shaharom, pihaknya akan memasang satu lagi papan tanda maklumat Perang Dunia Kedua di Jambatan Victoria dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar.

Jambatan berkenaan diletupkan tentera British bagi melengahkan kemaraan tentera Jepun pada masa itu.