IPOH - Penduduk yang kediaman mereka rosak dalam kejadian ribut petang semalam akan menerima bantuan segera sebanyak RM300 bagi memperbaiki kerosakan rumah.

Bantuan ehsan itu akan diserahkan kepada penduduk terlibat hari ini melibatkan jumlah keseluruhannya RM65,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, fokus ketika ini ialah untuk membaiki bumbung rumah yang rosak atau yang diterbangkan angin kerana bimbang jika hujan.

"Bantuan ehsan akan dibayar melalui Pejabat Daerah petang ini.

"Kerajaan negeri juga telah mengenal pasti kontraktor yang akan dilantik untuk membaiki kerosakan segera memandangkan esok adalah Tahun Baharu Cina," katanya

Beliau berkata demikian ketika melawat kawasan yang dilanda ribut di Klebang di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid.

Secara keseluruhan sebanyak 219 buah rumah terjejas iaitu 30 rumah di Desa Seri Chepor, Kampung Tawas dan Kampung Tasek Damai (49), Klebang (30) dan Taman Desa Impian (110).

Dalam pada itu, penduduk terjejas ribut juga akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 daripada kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Bancian akan dilakukan oleh Pejabat Daerah untuk menyediakan senarai penduduk yang terjejas ribut.