IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bakal menyediakan memperuntukkan sejumlah RM40,000 bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih kerosakan-kerosakan kecil kesan dari ribut taufan yang berlaku di empat kawasan terbabit.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @Md Daud berkata semalam pihaknya menerima aduan sebanyak 219 buah rumah mengalami kerosakan dan perlu dibaik pulih segera.

“Hari ini saya melihat sendiri beberapa rumah yang mengalami kerosakan-kerosakan terutamanya pada bahagian bumbung. Seperti yang dimaklumkan bagi kerosakan yang kritikal, kerajaan negeri dan persekutuan akan mengeluarkan dana untuk membaik pulih mana-mana bahagian yang rosak.

“Kerosakkan kecil pula, pihak jurutera MBI akan membuat penilaian dan sebagai permulaan sebanyak RM40,000 bakal diperuntukan di empat kawasan terbabit.

“Sebelum itu lebih 100 orang kakitangan MBI telah turun padang seawal kejadian bagi membantu membersihkan kepingan-kepingan bumbung rumah yang bertaburan serta pokok-pokok yang tumbang,” katanya kepada media selepas lawatan turun padang ke kawasan Zon Kampung Tawas dan Tasek, di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Rumaizi turut menyampaikan bantuan bakul makanan MBI Prihatin sumbangan Econsave bernilai RM5000 kepada Ahli Majlis MBI, Zon 10, Mohd Rafaad Razalli untuk diagihkan kepada penduduk terjejas.

Hadir sama, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 11 (Bercham) Ho Wai Mun , Ahli Majlis MBI Zon 3 (Manjoi), Mohammad Sharif, Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman.

Rumaizi juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada syarikat-syarikat yang tampil membantu mangsa bencana alam. Semalam sejumlah RM30,000 berupa barangan keperluan telah disumbangkan kepada penduduk kawasan Kampung Tawas.

“Kita telah bekerjasama dengan sebuah NGO secara sukarela yang diuruskan oleh Ahli Majlis MBI, Mohd Rafaad Razalli bagi membaik pulih Surau Al- Islahiah, Lengkok Tawas Baru. MBI hanya membekalkan kanvas dan akan dipasangkan pada bumbung surau.

Kejadian angin ribut berlaku di sekitar bandaraya Ipoh mulai pukul 6 hingga 6.30 petang kelmarin telah menyebabkan kerosakan rumah penduduk di beberapa lokasi iaitu Kampung Tawas, Taman Tasik Damai, Taman Desa Seri Chepor, Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya dan lain-lain kawasan berhampiran.