IPOH - Aplikasi pintar Park@Perak yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sejak tiga tahun yang lalu menunjukkan peningkatan positif dalam kutipan bayaran tempat letak kereta.

Ia mencatatkan peningkatan kutipan kepada RM3.23 juta atau bersamaan 3 peratus berbanding tahun 2020.

Park@Perak boleh dimuat turun di Play Store, App Store dan Huawei Gallery.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ini membuktikan wargakota Ipoh telah mula selesa menggunakan pembayaran parkir secara atas talian.

Menurut beliau, Aplikasi pintar Park@Perak akan menggantikan kupon sepenuhnya mulai tahun 2024, dalam visi, Ipoh menuju sebuah Bandar Pintar menjelang 2030.

"MBI dalam fasa pendigitalan sepenuhnya dari segi operasi dan pembayaran caj tempat letak kereta secara berperingkat menerusi aplikasi Park@Perak.

"Untuk makluman, pelekat kenderaan MBI seperti pelekat VIP/Media/UTC dan pas bulanan kini dikeluarkan secara digital mulai tahun 2022 ," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2022 di Dewan Mesyuarat MBI.

Sehubungan itu kata Rumaizi, kupon fizikal pula tidak lagi dijual kepada ejen jualan kupon letak kereta berkuatkuasa 1 Jun 2022.

Bagaimana pun katanya, kupon fizikal sedia ada masih boleh digunakan dalam kawasan bandaraya Ipoh sehingga 31 Disember 2023.