IPOH- Perak Medical Centre (PMC) yang ditubuhkan lebih 40 tahun lalu, meraih anugerah sebagai salah satu pusat penyediaan perubatan terbaik di negeri Perak.

Pengurus Kumpulan Syarikat Perak Medical Centre Sdn. Bhd., K. Nachemuthu berkata anugerah dari SME and Entrepreneurs Business Awards (SEBA) pada 9 Disember 2022 lalu amat membanggakan sekaligus menyuntik semangat untuk mencipta kejayaan dan kecemerlangan seterusnya.

“Ini adalah anugerah tertinggi dari SEBA. Untuk pengetahuan semua, hanya syarikat (PMC) kami di Perak yang pertama menerima anugerah ini. Ia sangat mengharukan dan terima kasih diatas sokongan semua pihak sehingga kami terpilih menerima anugerah berprestij ini.

“Dua anugerah yang diterima daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar itu ialah Most Philanthropic Entrepreneur Healthcare 2021 diberi kepada Pengarah Perak Medical Centre (PMC), Dr. K. Supramaniam. Sementara anugerah kedua ialah Best SME: Service Provider In General Healthcare Sevices 2021,” katanya kepada Peraktastic sewaktu ditemubual di Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Mewarna di Poliklinik We Care, Jelapang, baru-baru ini.

PMC telah memulakan operasi lebih 60 tahun lalu yang dikenali sebagai Dispensari Georgetown . Sekitar tahun 1978 ia terbahagi kepada dua bidang iaitu farmaseutikal dan perubatan.

Menurut K. Nachemuthu, PMC kini mengurus lima cawangan klinik di Perak termasuk satu Physio Care di Medan Istana Ipoh. PMC memiliki 11 orang doktor dan 56 orang pekerja.

“Selain dari bidang perubatan, PMC juga memberi tumpuan kepada hal ehwal kebajikan masyarakat berbilang kaum. Setiap bulan kami mengadakan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada 50 buah keluarga yang terdiri dari golongan miskin.

“Berlainan pada bulan Januari ini, kami melangsungkan program mewarna untuk kanak-kanak bersempena sambutan perayaan Ponggal dan Tahun Baru Cina yang melibatkan 515 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dari tujuh sekolah sekitar Ipoh.

“Seramai 30 orang kanak-kanak telah dipilih sebagai pemenang yang mewakili tiga kategori. Program ini memberi peluang ke[ada kanak-kanak menyerlahkan bakat dan kreativiti. Ia juga mampu meningkatkan daya penumpuan yang melibatkan pergerakkan tangan dan mata,” ujarnya.

Difahamkan, pihak pengurusan PMC sedang merancang program pemeriksaan mata secara percuma kepada kanak-kanak sekolah dan pemeriksaan kesihatan untuk golongan dewasa yang mungkin akan dilangsungkan pada pertengahan tahun ini.