IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memandang serius dan bertindak tegas terhadap tabiat pembuangan sampah harap yang berleluasa di bandaraya Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @Md. Daud menegaskan demikian kerana, sudah tiba masanya warga kota peka dan bersedia memberi kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk sama-sama menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Ipoh Terbersih di Malaysia pada tahun 2023.

“Tanggungjawab ini bukanlah terletak di bawah MBI semata-mata tetapi memerlukan penglibatan daripada semua pihak. Penyaluran maklumat aduan sampah haram boleh dijadikan contoh bagi membentuk jalinan kerjasama dua pihak iaitu MBI dan masyarakat.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat pembuangan sampah haram di sekitar bandaraya Ipoh ke whatsapp aduan MBI, 019-5533083. Tindakan kompaun bernilai RM250 di bawah Akta Jalan, Parit & Bangunan akan diambil terhadap pembuang sampah haram tersebut sekiranya maklumat aduan sahih.

“Walaubagaimanapun, tindakan kompaun itu adalah tindakan terakhir sekiranya tindakan lain tidak diendahkan oleh warga kota Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Untuk makluman, bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2021 tahun lalu, MBI telah membersihkan 24,848 lokasi longgokan sampah haram dan mengeluarkan 704 kompaun bernilai RM581,350.

MBI juga turut menjalankan 12 gotong-royong serta memasang 176 papan tanda "Dilarang Membuang Sampah" di sekitar Bandaraya Ipoh.

Rumaizi menambah usaha ini dapat digalas bersama-sama warga kota yang mempunyai komitmen dan wawasan dalam memastikan misi MBI menjadikan Ipoh sebagai bandaraya terbersih yang bukan sekadar impian semata-mata.