IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menandatangani kerjasama dengan A Tech Insure Sdn Bhd (A Tech) bagi menyediakan perkhidmatan takaful dan insurans secara digital.

Menerusi kerjasama ini, Tech menawarkan skim pinjaman sifar faedah untuk segmen penjawat awam bagi tujuan pembiayaan premium takaful kenderaan dan cukai jalan mereka.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, perkhidmatan tersebut bakal memberi manfaat pada 2,600 kakitangan pihak berkuasa tempatan tersebut.

Menurutnya, skim pinjaman sifar faedah itu sangat membantu terutamanya bagi kakitangan berpendapatan rendah.

"Saya difahamkan, pembayaran balik yang disediakan ini adalah sehingga tempoh 10 bulan.

"Selain itu, skim ini merupakan satu penyelesaian kewangan yang patuh syariah untuk kelestarian sosial.

"Ini secara tidak langsung, dapat meringankan beban kewangan kakitangan MBI yang terpaksa menanggung kos memperbaharui insuran kenderaan setiap tahun," ujarnya.

Terdahulu, beliau memeterai memorandum persefahaman tersebut dengan A Tech yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Alwi Mohamed Sultan.

Hadir sama ialah Pengerusi A Tech, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak.

A Tech merupakan sebuah syarikat Fintech tempatan yang membekalkan perkhidmatan takaful dan Insurans secara digital di Malaysia melalui Skim MyEzyCover.

Usaha ini juga, dapat mengelakkan kakitangan MBI daripada terjebak dengan hutang serta caj faedah yang tinggi ekoran penggunaan kad kredit atau membuat pinjaman yang tidak sewajarnya.

Atau yang lebih membahayakan, adalah dengan membuat pinjaman dengan syarikat pinjaman wang tidak berlesen.

Malah, MBI pula merupakan organisasi pertama yang mendapatkan khidmat sedemikian mendahului lain-lain agensi dan jabatan.