IPOH – Komuniti di bandaraya ini digalakkan untuk mewujudkan kelompok pertanian bandar dalam usaha menghijaukan kawasan di mana Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memudahkan proses permohonan khususnya melibatkan komuniti baharu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ini termasuk mematuhi garis panduan ditetapkan dan pada masa sama menjadikan kegiatan bercucuk tanam sebagai penyumbang bekalan sumber makanan pada komuniti tersebut.

Menurut beliau, aktiviti tersebut yang sangat disokong juga layak diberikan inisiatif bantuan disediakan.

“Bagi pihak MBI, kita akan membantu daripada aspek kelulusan bagi permohonan untuk pembangunan kebun komuniti khususnya pada kelompok yang terkesan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membantu mangsa ribut di Taman Tasek Damai di sini hari ini.

Program ini melibatkan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Jabatan Pertanian negeri Perak khususnya dari sudut bantuan pertanian.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SADC, Yahanis Yahya dan Pengarah Pertanian negeri Perak, Norsiyenti Othman.

Pada program CSR tersebut, seramai 30 penduduk yang terjejas dalam kejadian ribut bakal menerima bantuan melibatkan anak benih tanaman buah-buahan serta set nutripot.

Pihak Perak SADC pula akan menyediakan input pertanian membabitkan 30 benih anak pokok pisang, betik, cempedak dan nangka manakala Jabatan Pertanian negeri Perak pula menyalurkan bantuan 40 benih anak pokok kelapa selain 30 set nutripot melibatkan benih tanaman, media serta baja.

Bantuan yang dihulurkan ini juga dilihat sebagai salah satu kaedah atau pendekatan untuk komuniti sedia ada membangunkan semula aktiviti pertanian dikawasan yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Ini sekaligus menyahut seruan kerajaan untuk melaksanakan pertanian rumah kendiri sepertimana diilhamkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad melalui Program Kebun Kita.