IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini melaksanakan beberapa aktiviti rekabentuk dan pembinaan struktur buluh sebagai permulaan ke arah membangunkan teknologi rendah karbon menjelang 2030.

Aktiviti itu, merupakan kesinambungan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBI dan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM yang ditandatangani pada Oktober 2019. Ia melibatkan kerjasama dari aspek pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan teknologi pembinaan dan rekabentuk struktur buluh sebagai bahan pembinaan semulajadi yang mampan.

MoU itu membuka lebih banyak peluang kerjasama dua haladari aspek idea dan kepakaran khususnya berkaitan pengurusan landskap.

Disamping itu juga, ia dapat melatih kakitangan jabatan meneroka ilmu baru, kajian berbentuk thesis pengajian sarjana juga turut terhasil bagi meninjau manafaat penerokaan pengunaan buluh dalam pembinaan struktur landskap.

Buluh dikategorikan sebagai tumbuhan yang banyak menyerap karbon dan ini selari dengan Agenda Sustainable Development Goals oleh International Bamboo and Rattan Organization( INBAR). Buluh merupakan bahan tanaman yang boleh digunakan dalam pelbagai bentuk kegunaan termasuk bidang pembinaan seperti yang terdapat di China, Amerika dan Indonesia.

MBI melalui Jabatan Landskap telah melatih beberapa kakitangan yang berminat dengan teknologi pembinaan buluh dengan pakar pembinaan buluh di Sungai Siput bermula pada tahun 2018.

Penerokaan teknologi tersebut melibatkan rekabentuk struktur, pemilihan dan penebangan buluh, proses rawatan dan pembinaan.

Penerokaan teknologi ini telah menghasilkan beberapa struktur landskap baharu seperti yang terdapat di Dataran Bandaraya, Taman Rekreasi Gunung Lang dan Taman DR Seenivasagam.

Penyerahan struktur itu telah dilaksanakan pada 27 Januari 2022 dan dirasmikan oleh Prof Ts Dr Mohd Hamdan Ahmad, Timbalan Naib Canselor Pembangunan UTM manakala MBI pula diwakili oleh Pengarah Landskap Bandaraya LAr Meor Abdullah Zaidi Meor Razali.

MBI akan memperluaskan lagi penerokaan dan usahasama ini ke kawasan rekreasi dan tumpuan umum lain bagi menepati objektif Bandaraya Rendah Karbon serta pembinaan mampan dan lestari.