IPOH - Sebanyak 44 buah rumah penduduk di Taman Tasek Damai di sini yang rosak dalam kejadian angin ribut minggu lalu dibaiki Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini.

Ia melibatkan penghuni di Jalan Tawas Baru 2 dan Jalan Tawas 12, Taman Tasek Damai.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pembaikan itu dilakukan dengan kerjasama syarikat pemaju Kinta Properties Sdn. Bhd. (Kinta Properties).

Menurutnya, ia melibatkan kos sebanyak RM40,000 meliputi penggantian genting atap dan zink yang rosak.

"Kerja-kerja pembaikan yang telah dijalankan mulai hari ini dijangka siap pada Sabtu depan yang dilakukan sepenuhnya oleh pekerja Kinta Properties.

"Selain di sini, kita juga akan membaiki dua buah rumah yang musnah di Kampung Tawas yang akan dimulakan sebaik pelan rumah baharu siap," katanya.

Beliau ditemui semasa meninjau kerja-kerja pembaikan rumah penduduk di Taman Tasek Damai yang turut disertai Pengarah Kinta Properties, Edwin Tan Beow Aik.

Hadir sama Ahli Majlis MBI, Mohd. Rafaad Razali dan Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan MBI, Arif Mohd Zainudin.

Sementara itu kata Edwin, pihaknya bersimpati dengan keadaan yang menimpa penduduk dan pembaikan itu dilakukan sebagai tanggungjawab sosial korporat.

"Pihak Kinta Properties bersedia untuk menambah lagi peruntukan sekiranya ada keperluan tambahan kerana mungkin ada rumah yang rosak teruk," ujarnya.

Dalam pada itu, usaha MBI membaiki rumah yang rosak memberi kelegaan kepada penduduk tambahan pula kos untuk membaiki adalah tinggi.

Bagi Kamarul Hisham Ahmad Salaluddin, 35, dia yang bekerja kilang mengakui sangat bersyukur atas keprihatinan pihak MBI apabila tampil meringankan beban penduduk.

Dia yang tiga tahun tinggal di taman perumahan itu lega apabila kerja-kerja pembaikan pula dijalankan dengan segera.

"Sebahagian bumbung rumah rosak, malah saya telah mengeluarkan RM3,000 untuk membeli barang-barang seperti genting dan zink.

"Nampaknya kos berkurangan apabila pihak Kinta Properties akan melakukan kerja-kerja pembaikan," ujarnya bersyukur.