IPOH- Pengajuran E’LU’C Bundle Fest yang julung kali diadakan, mendapat sambutan diluar jangkaan dan menggalakkan.

Penganjurnya, Mohd.Fakeri Ruslan, 40, berkata idea E’LU’C Bundle Fest tercetus apabila melihat ramai peniaga-peniaga barangan terpakai (bundle) mengalami masalah tiada tapak perniagaan yang boleh dikunjungi orang ramai secara serentak.

“Kita sedia maklum kesan dari pandemik COVID-19 terutamanya sewaktu Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) peniaga-peniaga bundle dalam kebuntuan untuk meneruskan perniagaan mereka. Jadi dengan itu saya mengambil inisiatif untuk menganjurkan E’LU’C Bundle Fest bagi membantu memulakan semula perniagaan mereka.

“Pada masa akan datang saya bercadang untuk meneruskan E’LU’C Bundle Fest ke seluruh Malaysia bagi memperluaskan lagi perniagaan terutamanya kepada warga tempatan”, katanya kepada Peraktastic di sini hari ini.

E’LU’C Bundle Fest yang berlangsung selama empat hari bermula 11 hingga 14 Februari 2022 di Stadium Indera Mulia itu menempatkan puluhan peniaga-peniaga barangan bundle seperti pakaian, kasut, topi dan pelbagai lagi.

Mohd Fakeri menambah, sepanjang tiga hari berlangsung seramai lebih kurang 5000 orang pengunjung telah hadir meluangkan masa untuk membeli belah aneka barangan terpakai yang berjenama.

“Waktu beroperasi bermula 10.00 pagi hingga 11.30 malam. Sebagai menghargai sambutan orang ramai, kita juga mengadakan konsert rock secara percuma. Antara kumpulan lagenda rock yang membuat persembahan ialah Leon, Arrow dan EYE”, katanya.