IPOH - Ringkas, tapi sangat menarik dan sarat dengan maklumat.

Pasti itulah yang terlintas pada fikiran sesiapa sahaja yang singgah di Taman Poket Ampangku dekat Ampang Baharu di sini.

Menariknya kerana taman mini yang asalnya tanah terbiar tetapi kini dihiasi dengan landskap menarik serta paparan sejarah dan warisan yang terdapat di Kampung Baru Ampang.

Menerusi taman, kita boleh mengetahui asal usul nama Ampang, era kegemilangan bijih timah, zaman Darurat, penanaman limau bali, perternakan khinzir serta kisah-kisah penduduk.

Tambah menarik apabila sebuah peta pelancongan setempat yang didokumentasikan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin turut didirikan.

Inisiatif setempat ini digerakkan oleh Kaki Gunung yang terdiri daripada wakil-wakil rakyat dalam Parlimen Gopeng.

Sudah pasti inisiatif yang baik seperti ini daripada aspek memulihara sejarah dan warisan wajar dipuji serta boleh dilaksanakan di tempat lain.

Meminjam sepotong kata pepatah lama bahawa, "Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang menghargai sejarah dan warisannya."