KAMPAR - Aktiviti berkelah dua sahabat berakhir dengan tragedi mereka lemas semasa mandi di kawasan air terjun Lata Berangkai di sini pagi tadi.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Sabak Bernam itu bersama dua rakan lagi datang beriadah di kawasan air terjun itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.34 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar dihantar ke lokasi kejadian.

"Mangsa dipercayai lemas semasa mandi dan salah seorang daripadanya telah berjaya dibawa naik ke tebing oleh orang ramai.

"Manakala mangsa kedua pula berjaya ditemui oleh pasukan bomba pada pukul 11.22 pagi pada kedalaman tiga meter dari lokasi dia dipercayai lemas," ujarnya.

Identiti kedua-dua mangsa yang berumur 20 tahun itu disahkan sebagai Muhammad Fikri Adam Azmi dan Muhammad Amirul Hafidz Ma'asor.

Pemeriksaan pegawai kesihatan kemudian mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai PBK II Zahuri Zainal Abidin ini tamat sepenuhnya pada pukul 11.33 pagi.