IPOH- Konsul Jeneral Jepun, Orikasa Hiroyuki menzahirkan rasa kagum terhadap penjagaan Taman Jepun yang selama ini menjadi lambang persahabatan dan hubungan antara Ipoh dan Fukuoka.

Menurutnya, sejak tementerainya perjanjian Program Bandaraya berkembar Ipoh- Fukuoka Jepun pada 21 Mac 1989 telah menghasilkan pelbagai aktiviti dan program dua hala antara dua negara.

“Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), khususnya Datuk Bandar Ipoh yang telah menjaga taman ini dengan sebaiknya sejak ia dibangunkan.’

“Taman ini sangat menarik perhatian saya, kerana ia mengambarkan keunikan Taman Jepun menerusi gabungan elemen-elemen air tasik, bukit bukau dan terbaharu ‘Dry Garden of Fukuoka’ di mana ia memperlihatkan lambang permukaan mukabumi Fukuoka.

“Pihak kami akan meneruskan kerjasama ini bagi memastikan hubungan antara dua bandar terus terpelihara,” katanya kepada media selepas lawatan ke Taman Jepun, di sini hari ini.

Sementara itu Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @Md Daud berkata program bandaraya berkembar yang terjalin selama 33 tahun ini, membuka peluang yang luas dalam sektor ekonomi, perdagangan, sains dan teknologi, sukan, kesihatan dan pendidikan.

“Pelbagai aktiviti dilaksanakan antaranya Bridge Summer Camp, Bridge Challenge Trip, Sister City Student Exchange Programe dan Asian Pacific city Summit(APCS).

“Kehadiran Orikasa Hiroyuki dalam lawatan ke Bandaraya Ipoh menunjukkan perhubungan erat antara dua bandaraya tetap terjalin kukuh walaupun dunia masih berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19,” ujarnya.

Pada masa yang sama, bagi mengabadikan kenangan di atas kunjugan Orikasa Hiroyuki ke Taman Jepun yang terletak di Taman Dr Seenivasagam ini, beliau diberi penghormatan menaman dua pohon pokok Podocar Pus yang dikenali juga Japaness Pine bersama-sama Dato’ Rumaizi Baharin.