TAIPING - Aspek kebersihan di bandar warisan ini sentiasa diperkasakan termasuk membasmi makhluk perosak, tikus.

Terbaharu, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) melaksanakan operasi membanteras ancaman tikus di Pasar Taiping.

MPT dalam kenyataan menerusi hantaran dalam laman Facebook memberitahu, operasi tersebut berjaya menangkap 46 ekor tikus.

Menurut kenyataan itu, operasi ini dilakukan selepas tinjauan MPT mendapati kelibat tikus dalam jumlah yang banyak setelah pemindahan peniaga Pasar Taiping ke Pasar Sementara Tupai pada 8 Februari lalu.

"Dalam operasi bermula pukul 6 petang, dua kaedah kawalan dilakukan iaitu kawalan fizikal dengan meletakkan rodent proffing di laluan masuk.

"Kaedah kedua ialah kawalan mekanikal dengan menyediakan 30 perangkap tikus menggunakan umpan ikan sardin," ujar kenyataan itu.

Aktiviti kawalan ini dilakukan dibawah Seksyen 76 (1)(2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu memusnahkan tikus.

Menurut kenyataan itu lagi, kawalan terhadap populasi tikus di Pasar Taiping akan dilakukan secara intensif kerana urungan tikus yang tidak terkawal akan memberi kesan terhadap kerosakkan harta benda dan kepada kesihatan awam.

MPT akan mempertingkatkan lagi kerja-kerja kawalan tikus, menambah bilangan perangkap tikus dan meningkatkan tahap kebersihan persekitaran untuk mengurangkan populasi tikus. -Peraktastic.