IPOH - Rakan media negeri Perak kehilangan seorang sahabat apabila penulis yang juga blogger, Diana Yeoh Pek Hoon meninggal dunia akibat serangan jantung semalam.

Berita pemergian mendiang dimaklumkan ahli keluarganya menerusi laman Facebook miliknya.

Mesra dalam kalangan rakan-rakan media dengan panggilan Diana, 50an, mendiang seorang yang mudah mesra dan senang bergaul dengan semua peringkat usia.

Kebiasaannya, beliau akan menyapa rakan-rakan semasa bersua di tugasan selain bertanya khabar.

Walaupun memiliki latar belakang dalam bidang undang-undang, mendiang sangat meminati penulisan khususnya berkaitan pelancongan dan gaya hidup.

Mendiang juga bertugas sebagai pensyarah sambilan di sebuah universiti swasta di bandar ini.

Selain itu, Diana juga aktif dalam aktiviti Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak

Diana juga juga bukan asing dalam bidang penulisan dan pemberitaan kerana pernah bertugas sebagai wartawan bersama akhbar New Straits Times.

Disebabkan minat pada bidang penulisan, mendiang mengendalikan laman blog sendiri, travelcolour.blogspot.my yang menyentuh apa jua topik berkaitan pelancongan dan komuniti.

Mendiang juga antara blogger tempatan yang sangat aktif dalam mengetengahkan aspek pelancongan negeri Perak.

Pada 2017, mendiang telah menerima anugerah Penulisan Rencana Pelancongan Terbaik (Media Cetak) daripada Tourism Perak, Tourism Malaysia's Best Travel Media Buddy 2019 selain Best Tourism Singapore Article (2007).