IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan membantu permohonan seorang warga emas yang sakit terlantar di Parit 1A, Sungai Manik, Teluk Intan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, permohonan bantuan tersebut sedang diproses serta sebagai tindakan awal bantuan segera diberikan.

Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum untuk menjelaskan isu bantuan berkenaan yang sebelum ini tular menerusi satu video di media sosial.

"Pengadu, Puan Diwiyana Mohammed sebelum ini menetap di Cheras, Kuala Lumpur telah berpindah tinggal di rumah ibu mertua di Teluk Intan sejak tahun 2019.

"Pada 3 Februari 2022, pejabat MAIPk Daerah Hilir Perak telah menerima permohonan bantuan bulanan daripada suami pengadu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, sebagai tindakan awal bantuan segera wang tunai telah disampaikan serta merta oleh Pegawai Baitulmal Daerah Hilir Perak kepada keluarga pengadu sebanyak RM300 hari ini.

"Selanjutnya bantuan bulanan dan perubatan kepada ibu pengadu yang sakit terlantar akan diberikan setelah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal Daerah Hilir Perak," katanya.

Sejak semalam tular dalam media sosial luahan seorang wanita yang kecewa apabila usaha mendapatkan bantuan untuk ibunya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Perak dan zakat masih gagal.

Wanita itu, Dyana Mohammed atau dikenali sebagai Kak Yana melalui klip video yang dimuat naik dalam laman media sosial miliknya mendakwa telah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan melalui dua agensi itu sebanyak dua kali.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk
Norashikin Wan Noordin turut menziarahi keluarga berkenaan petang tadi.

Kunjungan beliau bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang isu berkenaan serta memudahkan permohonan bantuan diberikan. - Peraktastic.