IPOH - Sebanyak 21 keluarga di sekitar Simpang Pulai yang kediaman mereka rosak dibadai angin kencang minggu lalu menerima sumbangan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin telah turun padang menyampaikan sumbangan berupa bantuan wang tunai dan barangan makanan kepada keluarga tersebut.

Menurut beliau, bantuan diberikan itu adalah menerusi Program MBI Prihatin yang juga merupakan satu daripada tanggungjawab sosial korporat pihak berkuasa tempatan tersebut.

"Pada hari ini kita turut meninjau kerosakan rumah penduduk yang mana MBI juga mempertimbangkan untuk membaiki mana-mana kerosakan kecil.

"Berdasarkan tinjauan awal kita menjangkakan jika dilakukan kerja pembaikan tersebut memakan kos keseluruhan sekitar RM10,000," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada dua buah rumah penduduk yang rosak di Kampung Sengat dan Kampung Baru Simpang Pulai.

Hadir sama ialah Ahli Majlis MBI Zon 24, Clr. Azmi Murad Mohamad Yusof dan Ahli Majlis MBI Zon 23, Clr. Mohamad Annuar Baharudin.

Turut hadir Pengerusi MCA Bahagian Gopeng, Patrick Ewe.

Sebelum itu, Clr. Azmi Murad Mohamad Yusof telah menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan makanan kepada 26 keluarga di kawasan tersebut.

Jumlah keseluruhan bantuan berkenaan adalah sebanyak bernilai RM7,000.