TELUK INTAN - Kerajaan negeri Perak prihatin apabila akan membantu seorang wanita, Diwiyana Mohammed yang mendakwa sukar mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi ibu mentuanya yang uzur.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat & NGO negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin telah turun padang menziarahi keluarga tersebut yang tinggal di Parit 1A Sungai Manik.

Dalam kunjungan itu, Wan Norashikin turut menghulurkan sumbangan tunai, barangan makanan serta menyampaikan kelulusan permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bermula Mac ini, bantuan bulanan sebanyak RM500 sebulan kan mula diterima warga emas tersebut.

Turut hadir pada ziarah tersebut ialah Pengarah JKM negeri dan Pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Kelmarin, bantuan segera wang tunai telah disampaikan serta merta oleh Pegawai Baitulmal Daerah Hilir Perak kepada keluarga berkenaan sebanyak RM300.

Selanjutnya bantuan bulanan dan perubatan kepada ibu pengadu yang sakit terlantar akan diberikan setelah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal Daerah Hilir Perak.

Ini kerana permohonan bantuan tersebut sedang diproses setelah diterima pada 3 Februari lalu.

Dua hari lalu tular dalam media sosial luahan seorang wanita yang kecewa apabila usaha mendapatkan bantuan untuk ibunya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Perak dan zakat masih gagal.

Wanita itu, Dyana Mohammed atau dikenali sebagai Kak Yana melalui klip video yang dimuat naik dalam laman media sosial miliknya mendakwa telah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan melalui dua agensi itu sebanyak dua kali.