IPOH - Bandaraya ini mendahului lokasi di Malaysia apabila menjadi tempat paling diminati untuk didiami berdasarkan beberapa kriteria yang menepati kehendak penduduk.

Mengikut data transaksi kediaman PropertyGuru DataSense bagi seluruh negara pada suku tahun 2021, Ipoh tersenarai dalam lima kawasan popular yang direkodkan mengikut jumlah transaksi.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, Ipoh merekodkan sebanyak 527 tarnsaksi dengan harga median RM296,000.

Katanya, lokasi lain ialah Klang sebanyak 485 transaksi dengan harga median RM462,500, Puchong (445, harga median RM698,750), Cheras (347, harga median RM415,250) dan Kajang (340, harga median RM296,000).

"Ipoh, ibu negeri Perak ini bukan sahaja mempunyai harga median yang rendah, tetapi dianggap sebagai 'hotspot' dengan banyak kemudahan dan kawasan rekreasi.

"Ipoh juga adalah antara kawasan paling membangun dan terbaru Perak telah mengemukakan cadangan pembangunan sistem transit aliran ringan LRT di bandar raya ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Februari di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh di sini.

Kata beliau lagi, secara umumnya, kenaikan harga dalam pasaran hartanah boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor.

"Antaranya permintaan. Apabila lebih ramai orang mula mencari dan membeli rumah di sesuatu kawasan, harga hartanah di situ akan mula naik.

"Lokasi rumah juga antara faktor utama. Tempat yang strategik seperti kejiranan matang akan menyediakan pelbagai kemudahan serta menaikkan harga hartanah,' ujarnya.

Selain itu, aksesibiliti mudah bermakna penduduk mempunyai akses ke lebuh raya utama yang akan memudahkan perjalanan mereka.

Harga rumah juga boleh naik kerana ia berkait rapat dengan lokasi strategik.

"Nilai hartanah di kawasan yang semakin pesat membangun selalunya meningkat disebabkan perancangan pembangunan dan kemudahan yang akan mempertingkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat.

"Rumah yang berdekatan dengan bandar sering menjadi rebutan ramai kerana menyediakan segala kemudahan yang diperlukan. Oleh kerana itu harga akan meningkat selari dengan minat pembelian," ujarnya.