IPOH- Pengarah Hospital Slim River, Dato’ Dr. Sivanandarajah Satgunam mengingatkan orang ramai yang belum mendapatkan vaksin dan dos penggalak agar berbuat demikian bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 khususnya varian Omicron yang sedang melanda.

Beliau berkata sedemikian, berpandukan peningkatan pesakit-pesakit Covid-19 di wad yang meningkat serta keperluan peralatan perubatan juga bertambah.

Pengambilan vaksin yang lengkap dan juga dos penggalak mampu mengelakkan kita dari risiko jangkitan yang serius. Namun selain itu, adalah wajib mengamalkan penjagaan kendiri seperti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Kanak-kanak juga perlu diberi vaksin Covid-19 seperti yang telah dilakukan di negara-negara luar untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun. Ini adalah penting kerana kebanyakkan pesakit yang terjejas adalah terdiri dari kanak-kanak”, katanya sewaktu ditemubual selepas menerima raplika cek dari Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dengan diringi Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Bond Holdings, Ong Teng Boon sebagai acara kemuncak Majlis Makan Malam Amal Anuar Zain di Ipoh International Convention Centre (ICC) baru-baru ini.

Beliau juga mengulas tentang pengajuran Majlis Makan Malam Amal Anuar Zain berjaya mencapai matlamat dalam membantu pelbagai pihak yang terkesan akibat pandemik Covid -19.

"Keseluruhan sejumlah RM60,000 yang diterima akan dibahagikan kepada Kementerian Kesihatan Negeri Perak (KKNP) dan Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB).

Sumbangan ini sangat membantu KKNP dan HRPB untuk perbelanjaan bagi menyediakan pelbagai keperluan penting terutamanya pengurusan perubatan terutamanya pakaian perlindungan diri (PPE) yang tidak mencukupi”, tambahnya.

Pada masa yang sama, Pengurus Besar People Of Remarkable Talent (PORT), Nur Hanim Mohamed Khairuddin turut menerima raplika cek berjumlah RM40,000.

Nur Hanim berkata sebagai sebuah agensi yang banyak berurusan dengan penggiat seni muzik tempatan, sumbangan itu dapat membantu sebilangan penggiat yang terkesan dengan pelbagai musibah masa kini.

“Kami akan menyalurkan sumbangan itu dalam bentuk tunai kepada yang benar-benar memerlukan, beberapa program yang boleh memanfaatkan dari segi kemahiran dan pengetahuan akan dirancang.

“Pandemik Covid-19 telah banyak menghadkan perjalanan seni para pemuzik tempatan. Mengikut rekod kami, sekitar 100 orang penggiat seni negeri ini memerlukan sokongan untuk mereka meneruskan pengkaryaan muzik secara konsisten.

Paling terkesan adalah golongan pemuzik sepenuh masa yang kurang mendapat tawaran membuat persembahan mutakhir ini”, katanya.

Majlis malam amal itu anjuran bersama Bond Holdings Sdn. Bhd. (Bond Holdings), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sycal Ventures Berhad.

Selain itu Jabatan Polis Diraja Malaysia juga menerima RM20,000 dan Angkatan Pertahan Awam Negeri Perak menerima RM30,000.