IPOH - Majlis Makan Malam Amal Anuar Zain - Kerana Aku Cinta berjaya mengumpulkan dana bagi menyalurkan bantuan kepada para anggota barisan hadapan yang berperanan besar semasa pandemik Covid-19 serta penggiat-penggiat seni baharu di negeri Perak.

Majlis malam amal yang berlangsung di Ipoh International Convention Centre (IICC) telah dihadiri 1000 orang tetamu. Ia dianjurkan bersama Bond Holdings Sdn. Bhd. (Bond Holdings), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sycal Ventures Berhad menampilkan penyanyi tersohor tanahair Anuar Zain. 

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir Perak diiringi Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah, mencemar duli menyampaikan cek sumbangan sambil  disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bond Holdings, Ong Teng Boon.

Pihak penggiat seni diwakili oleh Pengurus Besar People Of Remarkable Talent (PORT), Nur Hanim Mohamed Khairuddin  menerima sumbangan RM40,000 manakala RM20,000 kepada Polis Diraja Malaysia telah disampaikan kepada Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Dato' Pahlawan Azizi Mat Aris.

Kementerian Kesihatan negeri Perak dan Hospital Raja Permaisuri Bainun masing-masing menerima barangan sumbangan keperluan bernilai RM30,000 setiap satu. Sumbangan disampaikan kepada Pengarah Hospital Slim River, Dr. Sivanandarajah Satgunam.  Sementara  Angkatan Pertahanan Awam, menerima RM10,000 yang disampaikan Kepten Pertahanan Awam, Norazlan Turiman.

Turut berangkat hadir, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya  Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Majlis yang berlangsung dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) itu,  mendapat kerjasama kerajaan negeri Perak, Tourism Perak, Maju Perak, MB Inc dan beberapa lagi agensi-agensi kerajaan.

Ini dapat menaikkan nama Perak khususnya Ipoh sebagai salah satu destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara seterusnya mampu merancakkan lagi ekonomi pelancongan negeri Perak dan memperkenalkan IICC pada mata dunia.

IICC merupakan mercu tanda bagi negeri Perak khususnya di bandaraya Ipoh dengan keluasan 32,000 kaki persegi dan sesuai dengan kehendak masa hadapan Ipoh. - Foto : CHOR TV