IPOH - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Perak mengekal dan melindungi tanah hutan dan kawasan semula jadi darat yang masih ada di Manjung bagi mengimbangi pembangunan fizikal.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, ini kerana pihaknya mendapati keluasan guna tanah hutan di daerah itu semakin berkurangan.

Menurut beliau, selain tanah darat ia juga termasuk hutan paya laut atau paya bakau di mana keadaan ini membimbangkan.

"Berdasarkan Peta Guna Tanah Semasa 1966 yang disediakan oleh Jabatan Pertanian, dianggarkan lebih 60 peratus keluasan guna tanah di Manjung dilitupi hutan dan kawasan semula jadi.

"Bagaimana pub, ia telah berkurangan kepada kira-kira 12 peratus berdasarkan Guna Tanah Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030 (RTD Manjung 2030) dan ini boleh mengganggu ekosistem," ujarnya.

Gesaan itu turut dinyatakan semasa terlibat sebagai panel Forum Awam Hala Tuju Pengurusan Alam Semula Jadi anjuran Persatuan Aktivis Sahabat Alam baru-baru ini.

Selain beliau, ahli panel forum tersebut disertai Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein dan Setiausaha Persatuan Sahabat Ekologi Perak, Ibrahim Ngah Ahmad.

Menurut Meor Razak, berdasarkan jurnal dan laporan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), terdapat populasi dan habitat gajah di Manjung sehingga pertengahan tahun 1990an.

Bagaimana pun, semua gajah tersebut telah dipindahkan ke Taman Negeri Royal Belum di daerah Hulu Perak kerana habitat dan kawasan rayau haiwan itu dibangunkan untuk tujuan pertanian berskala besar.

"SAM pernah memberi beberapa cadangan kepada kerajaan negeri untuk diperhalusi bagi memastikan guna tanah hutan dan kawasan semula jadi darat dijaga.

"Antaranya usaha mewartakan kawasan pendaratan penyu di pantai Pasir Panjang, Segari sebagai kawasan perlindungan dan kawasan berhampirannya sebagai hutan simpan kekal," ujar beliau.

Cadangan lain termasuk mewartakan hutan paya bakau yang berstatus tanah kerajaan yang masih terdapat di Daerah Manjung sebagai HSK dan meminda Zon Guna Tanah Blok Perancangan Kecil 4.9, RTD Manjung 2030.

Ini termasuk tidak meluluskan permohonan cadangan kuari di sebahagian Kompartmen 19, 20 dan 21, Hutan Simpan Segari Melintang.