IPOH- Persidangan Pelancongan Marine Antarabangsa Pangkor 2022 (PPMAP 2022) yang akan berlangsung 9 hingga 12 Mei 2022 bakal menjadikan Pulau Pangkor sebuah destinasi pelancongan nautika pilihan utama di Asia Tenggara.

Pengerusi PPMP 2022 merangkap Presiden Persatuan Pelancong Negeri Perak, Dato’ Mohd. Odzman Abdul Kadir berkata selain dari sejarah dan kehidupan marin yang terpelihara, kedudukan geografi Pulau Pangkor yang strategik iaitu di antara Langkawi - Singapura dan Melaka-Pulau Pinang menjadi faktor utama kenapa ia harus diangkat sebagai sebuah destiansi pelancongan nautika.

“PPMAP 2022, bakal menyaksikan penglibatan seramai 200 orang peserta dari serata dunia antaranya Australia, UK, USA, Jerman dan Belgium. Jemputan lain juga termasuk agensi kerajaan, para akademik, pelajar, pemain-pemain industri, NGO pelancongan, pemilik hotel, inap desa, pemandu pelancong, pakar kebudayaan dan penulis-penulis.

“Fokus utama yang akan diperbahasakan ialah mengapa kita membiarkan pelayar-pelayar dari serata dunia menjadikan negara-negara jiran sebagai persingahan untuk melancong ke Malaysia sedangkan kita sendiri berkemampuan menyajikan yang terbaik di pelabuhan sendiri.

“Selain itu kita juga akan mengupas permasalahan yang dihadapi oleh pelayar-pelayar termasuklah dari segi kawalan sempadan, standard operasi pelabuhan, kemudahan dan perkhidmatan. Kita ingin melihat potensi 'blue economy' iaitu ekonomi yang membabitkan hubungan laut dan marin di Malaysia”, katanya dalam sidang media sempena Perasmian Logo PPMAP 2022 & Tandatangan Persafahaman Kolobrasi Persidangan Pelancongan Marine Antarabangsa Pangkor 2022 di Hotel MH, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Penasihat PPMAP 2022  Dato' Seri Mirza Taiyab Beg.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata PPMAP 2022 mampu mempromosikan aset pelancongan nautika Perak kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

“Selain memperbincangkan aspek pelancongan dan potensi ekonomi ia juga memberi peluang di bidang pendidikan kuhususnya kepada belia yang berminat mendalami bidang bot dan pelayaran.

“Inilah peluang keemasan untuk kita bersemuka dan berkomunikasi secara dua hala di antara para pelayar dari seluruh dunia seterusnya mencari rumusan bagaimana menjadikan Pulau Pangkor sebagai satu destinasi persinggahan nautika yang setaraf di negara luar”, katanya.