IPOH - Satu operasi bersepadu pematuhan larangan merokok terutama di tempat makan dilaksanakan oleh penguatkuasa Kemeneterian Kesihatan Malaysia di sekitar bandaraya ini malam tadi.

Sebanyak 215 premis di tempat tumpuan utama telah dilawati melibatkan 54 orang anggota penguat kuasa dan dibantu empat anggota polis.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, operasi tersebut bagi menguatkuasakan Peraturan 11, Peraturan -Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 71 bil notis dikeluarkan di bawah PPKHT Peraturan 11(1) dengan nilai kompaun RM 17,750.

"Manakala kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 12 PPKHT 2004 adalah empat dengan nilai kompoun RM1,000.

"Selain itu, tiga kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 14 PPKHT 2004 dengan nilai kompoun RM1,500," ujar kenyataan itu.

Turut diambil tindakan ialah kesalahan di bawah Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) melibatkan pelanggaran terhadap SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4.

Bagi kesalahan ini 27 kompaun bernilai RM27,000 dikeluarkan.

Jelas kenyataan itu lagi, pegawai penguat kuasa turut melaksanakan pendekatan pendidikan kesihatan melalui nasihat dan edaran kad berkaitan jenis-jenis kesalahan dan nilaian kompaun.

"Penguatkuasaan kepada pematuhan larangan merokok di bawah PPKHT 2004 terutama di tempat makan akan terus dijalankan secara berterusan.

"Orang ramai diingatkan untuk terus memastikan agar peraturan ini di patuhi manakala sebarang aduan berkaitan kesalahan ini boleh disalurkan melalui WhatsApp menerusi talian 010-860 8949.

"Bagi golongan perokok yang ingin berhenti merokok boleh melayari laman sesawang www.jomquit.com," ujarnya.