Ipoh- Aplikasi Park@Perak kini dalam fasa pendigitalan sepenuhnya bagi memperkemaskan lagi sistem pengoperasian dan pembayaran cas tempat letak kereta.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin @Md Daud berkata aplikasi itu telah dikemaskini dengan versi terkni (Ver 3.0.0) yang menampilkan fungsi terbaru iaitu Pas Harian, Pas Bulanan dan Semakan Status Pelekat Kenderaan (Pas Bulanan, Pas VIP, Media dan UTC).

"Seiring dengan hasrat pelaksanaan pendigitalan sepenuhnya, kupon fizikal tidak akan lagi dijual kepada ejen jualan kupon letak kereta berkuatkuasa 1 Jun 2022. Kupon fizikal sedia ada masih boleh dijual kepada orang awam dan digunakan di MBI hanya sehingga 31 Disember 2023.

"Wargakota digalakkan untuk memuat turun aplikasi Park@Perak sebagai persediaan untuk memahirkan diri dengan medium digital ini kerana caj pembayaran tempat letak kereta akan dilaksanakan sepenuhnya melalui Park@Perak mulai 2024.

"Penawaran diskaun 50 % juga diberikan bagi kompaun lalulintas bagi pembayaran melalui aplikasi Park@Perak sehingga 31.5.2022", katanya dalam ucapan beliau sempena Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mac, di dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh, di sini hari ini.

Park@Perak boleh dimuat turun di Play Store, App Store dan Huawei Gallery. Sebarang pertanyaan atau kemusykilan, sila hubungi Unit Letak Kereta di talian 05-255 4377 / 4387 / 4388.