Ipoh- Tarikh akhir pembayaran bil cukai taksiran penggal pertama tahun 2022 telah tamat pada 15 Mac yang lalu.

Sebanyak 98,625 Notis (Borang E) bagi penggal pertama tahun ini telah dikeluarkan kepada pemilik-pemilik pegangan yang gagal menjelaskan cukai taksiran pada tempoh tersebut (Seksyen 147, Akta 171).

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @Md Daud berkata, para pemilik pegangan tersebut perlulah mengambil langkah segera untuk membuat bayaran sepenuhnya dalam tempoh 15 hari dari tarikh notis tuntutan yang dihantar.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, waran tahanan akan dikeluarkan oleh Majlis (kos tahanan akan dibiayai oleh pemilik pegangan) dan boleh menyita harta alih kepunyaan pemunya ( Seksyen 148, Akta 171).

“Jumlah tunggakan yang belum dibayar sehingga RM1,000, bayaran waran tahunan dikenakan ialah RM150.00. Sementara jumlah tunggakan yang belum dibayar melebihi RM1,000, bayaran waran tahunan dikenakan ialah RM300.00.

“Pihak Majlis amat mengalu-alukan kehadiran semua pemilik pegangan yang mempunyai masalah dalam pembayaran tunggakan bil cukai taksiran untuk hadir ke Majlis kerana ruang perbincangan dalam bentuk rundingan sentiasa terbuka dengan menawarkan bayaran secara ansuran mengikut kemampuan pemilik pegangan”, katanya menerusi ucapan pada Mesyuarat Penuh Majlis di Dewan Mesyuarat MBI pagi tadi.

Rumaizi turut mengingatkan pemilik-pemilik pegangan yang mempunyai tunggakan cukai taksiran termasuklah yang gagal mematuhi perjanjian bayaran ansuran yang telah dipersetujui, mereka dikehendaki supaya menjelaskan tunggakan tersebut dengan kadar segera.