IPOH- Sebanyak 582 unit tong sampah (120 liter) diagihkan secara percuma di Kampung Baru Buntong sempena Program Pembudayaan Amalan Penggunaan Tong Sampah.

Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak berkata amalan penggunaan tong sampah seharusnya dijadikan budaya kepada setiap individu warga bandar demi meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih, indah dan  sihat.

"Budaya menggantung sampah pada dahan pokok dan pagar perlulah dielakkan kerana ia memburukkan pandangan dan menyukarkan kerja-kerja pungutan sampah yang memerlukan ketepatan masa.

"Penyediaan infrastruktur kebersihan oleh MBI semata-mata tidak memadai sekiranya penduduk tidak terlibat sama dalam soal pengurusan sampah yang bermula dari rumah.

"Hasrat MBI mendidik wargakota Ipoh ke arah membudayakan penjagaan alam sekitar diharap diterima dengan terbuka. Zon 6, sebagai zon contoh kepada semua dalam usaha mewujudkan tanggungjawab bersama menjaga dan memelihara alam sekitar.

Ahmad Munir menambah, sebanyak 130,000 unit tong sampah yang berbaki akan diagihkan secara berperingkat di taman-taman perumahan lain sepanjang tempoh lima tahun.

"Tong-tong sampah perlulah diletakkan di hadapan rumah pada awal pagi mengikut jadual kutipan sampah dan bungkusan sampah perlulah dimasukkan ke dalam beg plastik yang sesuai untuk dikutip serta dilupuskan.

"Kami berharap wargakota Ipoh akan bersama-sama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam membudayakan penggunaan tong sampah secara maksimum untuk membantu memudahkan proses pelupusan sisa kediaman", katanya.

Hadir sama,  Ahli Majlis MBI (Zon 6), S.Jayagopi dan Ketua Penolong Pengarah Kesihatan MBI, S. Manisegaran.