Gunung Masoorat permata pelancongan eko bandaraya Ipoh
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 1358
IPOH – Gunung Masoorat menjadi satu hub pelancongan baharu di bandaraya ini yang menyediakan keunikan khazanah alam berusia jutaan tahun yang wajar dihargai.
Lokasi ini juga menawarkan pelbagai aktiviti lasak seperti eksplorasi gua, rock climbing, abseiling, trekking rocktrail dan sebagainya khusus kepada para pelancong tempatan serta luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Yahanis Yahya berkata, keunikan dan keistimewaan ini mampu mengujakan para pencinta alam.
Katanya, Gunung Matsoorat yang diiktiraf sebagai antara lokasi geotapak di Geopark Lembah Kinta boleh diangkat sebagai salah satu produk eko-pelancongan utama yang menjadi mercu tanda negeri Perak.
"Gunung Masoorat juga berpotensi dijadikan sebagai pusat penyelidikan khas bagi tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan gua batu kapur di kawasan berkenaan.
"Cadangan ini bukan sahaja selaras dengan agenda Rancangan Tempatan (RT) Bandaraya Ipoh menjelang 2035 bahkan dalam melindungi khazanah berkenaan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perak SADC Agrofest Masoorat Heritage Park@Ipoh yang berlangsung di Gunung Matsoorat malam tadi.
Program lima hari itu dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta Rymba Management & Leisure Sdn. Bhd. selaku pengendali tapak.
Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah berkenan hadir pada majlis perasmian tersebut.
Turut hadir Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Antara pengisian pada program ini adalah acara pendakian dinding Gunung Masoorat secara bergilir-gilir tanpa henti selama 72 jam dan direkodkan dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).
Kemuncak program adalah persembahan pentas Limestone Music Preview yang menampilkan Papa Rock, Ramli Sarip dengan iringan pemain gitar tersohor tanah air, Man Kidal.
Persembahan ini juga akan dicadang untuk direkodkan MBOR sebagai konsert pertama yang dilakukan di bukit batu kapur.
Acara lain ialah kayuhan mesra (fun ride) sejauh 20 kilometer di sekitar Bandaraya Ipoh, Program Perak Bumi Lestari melibatkan penanaman 10 anak pokok oleh lima organisasi di kawasan Masoorat Botany Sanctuary.
Ia bagi menyokong inisiatif kerajaan negeri dalam menjaga kelestarian alam, persembahan daripada artis-artis terkemuka tanah air serta jualan murah produk agrotani daripada usahawan Perak SADC dan tempatan.