Gunung Matsoorat catat Malaysia Book Of Record
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 1359
Ipoh- Gunung Matsoorat hari ini melakar sejarah apabila acara pendakian dinding (rock climbing) tanpa henti selama 72 jam direkodkan dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).
Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @Md Daud berkata pengiktirafan MBOR itu secara langsung telah mendukung satu lagi produk eko-pelancongan di dalam bandaraya Ipoh.
“Hasrat menjadikan Gunung Masoorat sebagai salah satu hub atau destinasi eko-pelancongan utama di negeri Perak kini menyusuri jalan mudah setelah menerima pengiktirafan MBOR. Kejayaan ini juga bakal membawa lebih jauh lagi nama Gunung Matsoorat sebagai produk eko-pelancongan yang mampu melangkah ke tahap pelancongan kebangsaan dan antarabangsa.
“Sejajar dengan pengumuman pembukaan sempadan negara pada 1 April ini, pastinya membuka peluang kepada pelancongan luar negara seperti Singapura, China, Thailand dan Indonesia memilih Gunung Matsoorat sebagai destinasi pelancongan yang mengkhususkan kepada sukan lasak.
“Sebelum ini MBI telah membangunkan kawasan Tasik Cermin di Gunung Rapat sebagai taman eko kuari yang pertama dalam negara dan Qing Xin Ling Leisure and Cultural Village di Taman Saikat, Ipoh.
“Kita masih lagi mempunyai 30 kilometer persegi kawasan-kawasan gunung batu kapur untuk dibangunkan. Kawasasan-kawasan itu akan dinilai potensinya samada sesuai untuk pelancongan mahupun pendidikan”, katanya dalam sidang media selepas acara menandatangi Sijil Malaysia Book of Record, di sini hari ini.
Rumaizi turut turun padang menanam 10 batang pokok Ipoh sumbangan Kelab Rotary Ipoh Selatan di kawasan Gunung Matsoorat bersama Ketua Pengarah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Yahanis Yahaya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Rimba Management & Leisure Sdn Bhd., Megat Mohd Shahrin Mohd Hamdan berkata seramai 30 orang pendaki dari beberapa negeri seperti Melaka, Selangor dan Pulau Pinang bersatu tenaga mencatatkan rekod baharu bagi aktiviti rock climbing iaitu selama 72 jam.
“Sebelum ini, mereka telah mencatatkan rekod selama 48 jam. Rekod baharu selama 72 jam tanpa henti itu telah melayakkan menerima MBOR. Ini satu kebanggaan kepada semua peserta yang dapat menaikkan nama Gua Matsoorat di mata dunia. Kita juga mahu menjadikannya sebagai salah satu Pusat Latihan Kebangsaan untuk aktiviti sukan lasak di negara ini.
“Selain aktiviti rock climbing, kita juga menawarkan pelbagai aktiviti-aktiviti lasak antaranya eksplorasi gua, abseiling, trekking rocktrail dan lain-lain khususnya kepada para pelancong tempatan serta luar negara’, ujarnya.
Sijil MBOR telah disampaikan oleh Pegurus Pejabat MBOF, Lee Pooi Leng dan Eksekutif Akaun, Nazrul Hafizi.
Pada masa yang sama, Cheong Lee Wen, dari Melaka merupakan salah seorang peserta rock climbing turut menzahirkan kegembiraan kerana berjaya menyumbang tenaga dalam meraih MBOR.
“Saya berbangga menjadi peserta dan menyumbang kepada kejayaan ini. Saya menyertai acara ini setealh mengkaji cici-ciri keselamatan terutamanya penggunaan peralatan yang dijamin selamat. Begitu juga laluan pendakian yang telah disahkan kukuh serta selamat untuk pendakian.
“Saya pasti akan datang ke sini semula untuk melakukan lagi aktiviti-aktiviti lasak yang menjadi kegemaran saya. Gunung Matsoorat berpotensi besar sebagai tempat tumpuan pencinta sukan lasak kerana pelbagai aktiviti boleh lakukan selain kedudukan geografinya yang strategik di tengah-tengah bandaraya Ipoh”, katanya. - PERAKTASTIC-