Tanam lebih banyak pokok demi kelestarian bandaraya Ipoh
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 691
IPOH - Warga bandaraya Ipoh perlu mengambil inisiatif untuk menanam lebih banyak pokok bagi menambahkan lagi kehijauan persekitaran dan pada masa sama mengekalkan kelestarian.
Penanaman pokok juga dapat mengurangkan kesan cuaca panas dan kering yang melanda negara kini.
Ahli Majlis Zon 14, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Clr Dr. Richard Ng berkata, penanaman pokok-pokok dapat membantu menyerap karbon dioksida dari udara yang akhirnya mengurangkan kesan gas rumah hijau
"Perubahan iklim bukan hanya satu isu penting buat kita, tetapi juga untuk generasi masa hadapan yang akan mewarisi planet indah ini," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Program Penghijauan Bumi sempena Hari Bumi Sedunia Zon 14 di Tempat Letak Kereta di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Ipoh (SMK RPS) pagi tadi.
Hadir sama Pengetua SMK RPS, Wiza Rozahrin Mohamed Radzi; Yang Dipertua PIBG SMK RPS, Mohd Syahrizal Azmi dan guru-guru.
Simbolik pelancaran tersebut adalah penanaman pokok Tecoma di kawasan letak kereta sekolah tersebut.
Sebanyak dua batang pokok ditanam dan jumlah ini akan ditambah sepertimana disasarkan.
Tambah Richard, SMK RPS juga akan menjadi peneraju program penghijauan ini di bandaraya Ipoh memandangkan sekolah tersebut pernah menjadi johanToyota Eco Youth Peringkat Kebangsaan.
"Semoga pelancaran program ini akan menjadi titik tolak dalam mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandar Rendah Karbon 2030," ujarnya.
Sementara itu, Wiza Rozahrin berkata, SMK RPS sememangnya mengamalkan konsep 5R iaitu 'Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Recovery' atau 'Tolak, Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula dan Pemulihan.
Katanya, warga sekolah tersebut telah pun membudayakani kesedaran untuk mengitar semula sampah-sarap daripada dibuang begitu saja bagi memelihara alam sekitar..
"SMK RPS berbangga apabila dipilih dalam menjayakan program ini dan berharap ia dapat dijadikan contoh," ujarnya.