IPOH - Hujan lebat beserta angin kuat petang tadi menyebabkan sebatang pokok besar tumbang menghempap lima buah kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir sebuah restoran makanan segera di Gunung Rapat.

Tiada sebarang kecederaan mangsa dilaporkan.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.53 petang.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dikerah ke lokasi bagi memberi bantuan.

"Sebatang pokok besar telah tumbang menghempap kenderaan iaitu Proton Waja, Proton Saga, Perodua Bezza, Perodua Myvi dan Honda CRV.

"Anggota bomba telah bertindak memotong dahan pokok yang menimpa kenderaan menggunakan gergaji rantai serta mengalihkan pokok ke kawasan selamat," ujarnya.

Operasi yang diketuai PBK II Reduan Chik tamat sepenuhnya pada pukul 4.59 petang.

Kerja-kerja pembersihan turut melibatkan petugas dan jentera berat Majlis Bandaraya Ipoh.