MBI serah tong sampah percuma serentak di tiga Zon
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 755
IPOH- Usaha gigih Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mahu menerapkan budaya penggunaan tong sampah di kalangan penduduk bandaraya diteruskan dan kini usaha itu semakin memampakkan hasil.
Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Rumaizi @Md Daud, pagi ini mengagihkan sebanyak 918 unit tong sampah (120 liter) secara percuma di tiga zon iaitu di Kg. Sg. Rokam (411), Medan Lapangan Sentosa (320) dan Desa Perwira (187) sempena Program Pembudayaan Amalan Penggunaan Tong Sampah, di sini hari ini.
“Sehingga 31 Mac 2022, sebanyak 16,056 tong sampah telah diedarkan kepada warga Ipoh. Secara keseluruhannya sebanyak 130,000 unit tong sampah akan diagihkan secara berperingkat di taman-taman perumahan lain dalam tempoh empat tahun.
“Tong-tong sampah ini perlulah diletakkan di hadapan rumah pada awal pagi mengikut jadual kutipan sampah yang telah ditetapkan manakala sampah pula perlu dimasukkan ke dalam beg plastik yang sesuai untuk dikutip dan dilupuskan.
“Kita tidak mahu lagi melihat amalan menggantung sampah pada dahan pokok dan pagar kerana perbuatan ini mencacatkan pandangan selain melambatkan serta menyukarkan kerja-kerja pungutan sampah yang memerlukan ketepatan masa”, katanya kepada pemberita.
Hadir sama, Ahli Majlis (Zon 23) Clr. Mohamad Annuar Baharudin; Ahli Majlis (Zon 21) Clr. Tn. Hj. Abu Bakar Hussian; Ahli Majlis (Zon 22) Clr. Datuk Hj. Mohd Nasir Shaari dan Setiausaha Bandaraya Ahmad Munir Ishak.
Rumaizi juga menegaskan, penyediaan infrastruktur kebersihan oleh MBI semata-mata tidak memadai sekiranya penduduk tidak dilibatkan sama dalam soal pengurusan sampah yang bermula dari rumah.
“Amalan menjaga kebersihan bermula dari rumah adalah penting sebagai contoh kepada ahli keluarga lain terutamanya anak-anak. Budaya seawal dari rumah ini akan melahirkan masyarakat yang menghargai dan mengutamakan keindahan persekitaran.
“MBI berharap wargakota Ipoh akan bersama-sama MBI dalam membudayakan penggunaan tong sampah seterusnya membantu memudahkan proses pelupusan sisa kediaman”, ujarnya.