Keluarga mangsa bencana ribut di Gopeng terima bantuan
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 666
IPOH - Sebanyak 18 keluarga yang kediaman mereka terjejas dalam kejadian ribut di beberapa tempat di Gopeng Isnin lalu menerima bantuan bencana.
Antara lokasi terjejas ialah di Kampung Rapat Jaya, Kampung Rapat Jaya Tambahan, Taman Lapangan Jaya dan Sungai Rokam.
Naib Pengerusi MCA Bahagian Gopeng, Cally Ting berkata, empat kawasan tersebut yang berada dalam Parlimen Gopeng mengalami kerosakan teruk.
Beliau berkata, selepas kejadian, pasukan MCA Gopeng telah meninjau ke kawasan yang terjejas dan mengambil butiran maklumat berhubung kerosakan dialami penduduk.
“Hasil bancian mendapati 18 pemilik rumah layak memohon dan menerima Bantuan Wang Ihsan Tabung Bencana Daerah Kinta berjumlah RM200 setiap rumah.
"Pihak MCA dan UMNO Gopeng turut menyumbang RM200 menjadikan jumlah bantuan RM400 setiap rumah," ujarnya ketika ditemui selepas penyampaian bantuan
di Dewan Orang Ramai Kampung Rapat Jaya.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kinta, Mohd. Muhsin Hanis Shaharuddin dan Penghulu Mukim Kinta, Dr. Mohd Sani Kamaruddin.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din, Ketua MIC Bahagian Gopeng R. Magendran dan Naib Pengerusi MCA Bahagian Gopeng Kok Pak Foo.
Penduduk sebelum ini turut menerima bantuan kotak makanan bagi setiap keluarga.
Hujan lebat yang berlaku pada Isnin lepas menyebabkan lebih 20 buah penduduk mengalami kerosakan termasuk bumbung diterbangkan angin.
Susulan itu, tinjauan segera dilakukan
Pejabat Daerah Kinta, MCA Bahagian Gopeng dan UMNO Bahagian Gopeng bagi mengenalpasti mangsa terjejas.