Pembangunan Meru Raya-Klebang dirancakkan dengan pembinaan jalan sambungan
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 826
IPOH - Pembangunan bandaraya Ipoh dirancakkan lagi dengan projek penyambungan jalan bagi Jalan Utama Meru Raya-Klebang yang bakal memacu visi masa hadapan.
Pembinaan ini juga inisiatif kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melibatkan kerjasama beberapa syarikat pemaju hartanah.
Antaranya Ain Bina Development Sdn. Bhd, Eadepro Development Sdn Bhd, Satin Tiara Sdn Bhd, Scientex Quatari Sdn Bhd dan Total Investment Sdn Bhd.
Siap kelak, dalam tempoh lima tahun kawasan ini bakal menyediakan lebih 1,700 kediaman dan lot komersil bagi keperluan pembangunan kediaman di bandaraya Ipoh.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Perak, Dato' Mohd Zolkafly Harun berkata, menerusi kerjasama pintar ini sebahagian kos dibiayai oleh pemaju.
Katanya, melalui Private Fund Investment (PFI), kerajaan negeri menanggung kos bagi proses pengambilan balik tanah dengan anggaran sebanyak RM 4.2 juta.
"Anggaran kos keseluruhan termasuk infrastruktur adalah sebanyak RM 6.6 juta projek dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
"Menerusi pembangunan yang dirancang pada masa hadapan ia bakal menyumbang hasil kepada kerajaan negeri melalui hasil cukai dengan anggaran RM350,000 setahun,," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan penyambungan jalan tersebut baru-baru ini.
Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin @ Md Daud, Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak dan Ahli Majlis MBI.
Projek ini bagi menyambungkan kawasan Meru Raya dengan Klebang bagi memendekkan jarak perjalanan selain merancakkan pembangunan.
Ia menghubungkan Lebuh Chepor Utama 2 dan Lebuh Klebang Putra.
Antaranya pembinaan sebuah jambatan sepanjang 50 meter merentangi Sungai Pari, jalan empat lorong dua hala sepanjang 1.3 kilometer.
Turut disediakan termasuk pemasangan kelengkapan lampu jalan LED dan perabot-perabot jalan.