Pendandan rambut menang hadiah utama RM20,000
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 807
Ipoh- “Duit ini akan digunakan untuk memperbaiki rumah dan kegunaan pembelajaran anak-anak saya”, kata pemenang hadiah utama cabutan bertuah cukai taksiran MBI tahun 2022.
Yap Weng Wai, 41, dari Kampung Baru Jelapang menyifatkan hadiah cabutan bertuah yang dimenanginya adalah berkat kesabarannya melunaskan cukai taksiran secara berterusan selama 10 tahun.
“Saya akan memastikan jumlah RM20,000 yang dimenangi ini akan digunakan sebaik mungkin terutamanya untuk keperluan hal-hal yang penting terutama keluarga saya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) khususnya Datuk Bandar Ipoh yang telah meyampaikan hadiah ini kepada saya.
“Saya juga berharap orang ramai akan terus menunaikan tanggungjawab membayar cukai taksiran setiap tahun. Mungkin tahun hadapan anda juga salah seorang pemenang seperti saya hari ini”, katanya kepada Peraktastic selepas Majlis Penyampaian Hadiah Utama Cabutan Bertuah Cukai Taksiran tahun 2022 di Dewan Sultan Azlan, MBI di sini hari ini.
Hadiah tempat kedua RM10,000 dimenangi oleh Leong Sing Khean, ketiga RM5,000 dimenangi oleh Chan Kok Ming, keempat RM3,000 dimenangi oleh Foo Mun Hon dan kelima RM 3,000 dimenangi oleh Terry Rosita.
Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata pihak MBI menawarkan 50 hadiah berupa wang tunai berjumlah keseluruhan RM 59,200.00 untuk dimenangi oleh wargakota yang bertuah dengan hadiah utama bernilai RM 20,000.
“Ini merupakan tahun kedua pihak MBI menawarkan hadiah secara wang tunai. - Peraktastic-
Pada 1 April lalu, kita telah melaksanakan 50 cabutan bertuah dan pada pagi ini pula diadakan cabutan khas sebanyak 30 cabutan bagi menentukan pemilik hadiah-hadiah utama.
“Sebanyak 130,920 bil pembayaran setahun telah diterima dan mencatatkan jumlah bayaran lebihan sebanyak RM 35.09 juta. Manakala bagi kutipan hasil keseluruhan pula telah mencatatkan jumlah sebanyak RM 83.1 juta berbanding RM 81.5 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2021.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada wargakota Ipoh yang telah menjalankan tanggung jawab membayar bil cukai taksiran. Saya berharap sokongan ini akan berterusan dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan bandaraya Ipoh bestari sejahtera.
Hadir sama, Ahli Majlis MBI, Clr. Richard Ng, Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak dan Pengarah Kanan Kewangan MBI, Puan Saidatul Akma Jamaludin.
Majlis ini turut disaksikan oleh wargakota Ipoh secara langsung di laman sosial rasmi facebook MBI.