Pekarangan SUK Perak jadi lokasi bazar Ramadan
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 728
IPOH - Penganjuran bazar Ramadan di pekarangan tempat letak kereta Bangunan Perak Darul Ridzuan (SUK) di sini merupakan inisiatif bagi memudahkan warga kerja dan penduduk setempat membeli juadah berbuka.
Bazar Niaga Ramadan @ Bangunan Perak Darul Ridzuan yang bermula minggu lalu hanya berniaga sepanjang minggu bekerja dari pukul 4 petang hingga 8 malam.
Majlis perasmian tapak bazar ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ia juga merupakan inisiatif Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (STeP).
Menurut Saarani, penganjuran itu juga bagi memberi peluang lebih ramai peniaga menjalankan perniagaan di bulan Ramadan.
"Ini julung-julung kalinya kita jadikan pekarangan tempat letak kereta Bangunan SUK sebagai tapak niaga bazar Ramadan dan sambutan sangat baik.
"Ia memberi kelegaan kepada penjawat apabila mereka tak perlu lagi tergopoh-gapah nak keluar kejar pergi bazar Ramadan dan sebagainya," ujarnya.
Seramai 32 orang usahawan makanan tempatan akan membuka gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman untuk berbuka puasa.
Bazar Ramadan ini juga dibuka kepada orang ramai melalui pintu pagar utama dan di bahagian belakang SUK.
Penganjuran bazar Ramadan ini juga mendapat kerjasama daripada Maybank dan LokeinSTORE dengan menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai.