Bumbung Gerbang Malam Siap Julai ini
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 995
IPOH- Menjelang Julai tahun ini, Gerbang Malam bakal berimej baharu setelah pembinaan fasa pertama bumbung siap sepenuh.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin@ Md Daud berkata pembinaan struktur teduhan itu pada awal jangkaannya siap pada 8 Mac 2022, namun terpaksa ditangguh dan dijangka siap pada 19 Julai 2022.
“Kerja penangguhan ini disebabkan kelewatan pembekal menghantar barangan yang dipesan dari negara Jerman. Sebaik sahaja barangan pesanan diterima kerja-kerja pembinaan bumbung akan disambung semula.
“Fasa pertama pembinaan bumbung gerbang malam ini melibatkan 380 meter dan berkemungkinan akan disambung seterusnya pada awal tahun hadapan.
“Sebanyak RM 2.8 juta telah diperuntukkan, namun terdapat sedikit penambahan yang menjadikan jumlah keseluruhannya RM3 juta”, katanya kepada Peraktastic selepas lawatan kerja beliau ke projek pemasangan bumbung di Gerbang Malam, Jalan Dato’ Tahwil Azhar di sini malam tadi.
Hadir sama, Ahli Majlis MBI, Clr. Richard Ng, Clr. Albert Ho Wai Mun, Clr Mohamad Iskandar dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Usahawan Gerbang Malam (PKUGM), Ahmad Irwan Othman Ipoh dan Ketua Jabatan MBI.
Projek pembinaan bumbung itu, dipertanggung jawabkan kepada syarikat kontraktor Abdul Manas Wahab Enterprise. Setakat ini, 30 peratus kerja-kerja fasa 1 telah siap. Fasa 2 pula akan dimulakan selepas fasa 1 dengan bajet RM1.8 juta.
Menurut Rumaizi lagi, sebelum ini rungutan orang ramai berhubung struktur laluan jalan kaki di Gerbang Malam yang menggunakan bahan ‘cobble paver’mengundang bahaya dikalangan pengunjung dan peniaga akan di ubah suai.
“Kerja-kerja pembinaan laluan baharu itu, akan dibina dengan kelebaran 3 kaki disepanjang jalan di bahagian tengah bagi menjamin keselamatan pengunjung terutamanya kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu bapa yang menggunakan kereta sorong bayi.
“Kita berharap kawasan ini bukanlah sekadar Gerbang Malam yang dikenali sekian lama, tetapi dengan pembangunan ini akan menjadikannya produk pelancongan berwajah baharu yang mampu menghidupkan kemeriahan bandaraya Ipoh di sebelah malam”, katanya. -PERAKTASTIC-