Hazmat alihkan 12 tong berisi bahan kimia di tepi Jalan Maxwell
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 745
IPOH - Anggota bomba telah melakukan operasi membersihkan tumpahan bahan kimia yang ditemui di bahu jalan dekat Jalan Maxwell di Taman Idris di sini pagi tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.50 pagi.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dikerah ke lokasi kejadian dibantu anggota Hazmat BBP Pasir Puteh.
"Pemeriksaan mendapati sebanyak 12 tong berwarna biru berisi bahan kimia berada dibahu jalan dengan empat mengalami kebocoran.
"Bahan-bahan yang terlibat adalah Bio Terhad AS 40, T- Gum AHG, Royal Process 250T dan Octowet 70D.
"Empat tong yang terlibat dengan tumpahan adalah masing-masing dua tong T- Gum dan
Octowet," kata jurucakap itu
Pihak Hazmat berjaya meneutralkan bahan tersebut dengan air serta memindahkan ke tong drum asing sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan selanjutnya.
Kerja-kerja pembersihan dilakukan untuk menghilangkan kesan-kesan bahan kimia yang tumpah.
Operasi yang diketuai PKPgB Mohd Fadzeli Che Hussin tamat sepenuhnya pada pukul 12.29 tengah hari.