IPOH- Bersempena Hari Bumi Sedunia 2022, sebanyak lima pohon pokok Tecoma atau Sakura Malaysia telah ditanam di persisiran tebing Sungai Kinta Riverfront hari ini.

Presiden Lions Club of Perak Silver State, Dr. Richard Ng berkata penanaman pokok Tecoma bukan sahaja melestarikan kehijauan alam sekitar malah menjadi tarikan pelancong sekiranya pokok itu membesar dan berbunga lebat.

“Pokok ini akan berbunga dua kali setahun seperti pokok Sakura di Jepun. Selain menjadikan tebing sungai Kinta menghijau dan cantik, ia juga selaras dengan misi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ke arah Ipoh Bandar Rendah Karbon menjelang tahun 2030.

“Lokasi penanaman pokok di tebing sungai ini juga sempena penganjuran konvesyen Lions Club di Ipoh yang dihadiri 500 delegasi dari seluruh negara.

“Sempena Hari Bumi Sedunia ini, kami memperkenalkan 'eco bricks' iaitu penggunaan plastik yang dikitar semula. Plastik-plastik terpakai itu dimasukkan ke dalam botol mineral secara penuh dan padat. Botol-botol berisi plastik itu kelihatan menarik dan dijadikan sebagai pagar kepada tanaman”, katanya kepada Peraktastic sempena Hari Bumi Sedunia 2022 Peringkat Negeri Perak di Kinta Riverfront di sini hari ini.

Sempena tema Hijaukan Bumi Selamatkan Generasi Akan Datang, sebanyak 624 ‘eco bricks’ telah disumbangkan oleh para pelajar SMK Perempuan Ipoh yang dihasilkan dari 36 kelas.

Program anjuran Lions Club of Perak Silver State dengan kerjasama MBI itu dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Yang Berhormat Mohd Akmal Kamarudin.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud; Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik; YDP PIBG SMK Raja Perempuan Ipoh, Mohd Syahrizal Azmi dan Pengetua SMK Raja Perempuan Ipoh, Wiza Rozahrin Mohamed Radzi.

Sementara itu, Mohd Akmal turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar dan NGO yang telah menjayakan program ini.