Kelestarian alam sekitar tanggungjawab bersama- Mohd Akmal
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 2439
Ipoh: Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan negeri Perak sebuah negeri yang bersih, hijau dan mencapai standard kualiti persekitaran yang terbaik menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin berkata Pelan Perak Sejahtera 2030 merupakan inisiatif baharu antaranya menggalakkan usaha penjagaan denai-denai yang mengalir ke Sungai Perak merupakan salah satu daripada mekanisme kawalan pencemaran sungai dan risiko banjir.
“Disamping itu, usaha-usaha kesedaran alam sekitar perlu terus dipergiatkan untuk menggalakkan masyarakat setempat supaya lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran dan kelestarian alam sekitar.
“Masyarakat perlu dididik untuk berubah ke arah kehidupan yang membudayakan kebersihan dan penjagaan alam sekitar serta memupuk semangat sayangkan khazanah keindahan bumi ini.
“Masyarakat umum tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab terhadap pelbagai perkhidmatan dan infrastruktur telah yang disediakan oleh kerajaan, malah seharusnya memelihara serta memastikan kelestarian alam sekitar dipertahankan’, katanya selepas melancarkan Sambutan Hari Bumi Sedunia dan ‘Soft launch’ Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perak di Taman Dr Seenivasagam, di sini hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud; Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak, Rosli Zul; Timbalan Ketua Pengarah PLAN Malaysia,Hassan Yaakob dan Ahli-Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Mohd Akmal menyokong baik visi MBI untuk menjadikan Ipoh Bandaraya Terbersih menjelang tahun 2023 yang merupakan komitmen tinggi dalam menjaga kebersihan secara berterusan dan menghidari sebarang bentuk pencemaran dalam komuniti.
Bersempena sambutan Hari Bumi Sedunia atau ‘World Earthday’ yang disambut seluruh dunia pada 22 April setiap tahun, beliau berharap segenap lapisan masyarakat diseru bersama-sama mempertahankan khazanah bumi dari sebarang ancaman pencemaran dan kerosakan ekosistem.
Menurutnya, tema sambutan Hari Bumi Sedunia 2022 ialah 'INVEST IN OUR PLANET' dan tema sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2022 peringkat negeri Perak iaitu “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama” adalah selaras dengan agenda utama iaitu “Perak Bumi Lestari”.
“Melalui penganjuran program-program yang berkaitan dengan kesedaran alam sekitar ini, menjadi pemangkin kepada semua pihak untuk menjadikan negeri Perak khususnya Bandaraya Ipoh sebagai Bandaraya Terbersih di Malaysia menjelang tahun 2023 disamping sebagai titik-tolak dalam mencapai matlamat diimpikan”, ujarnya.
Pada masa yang sama Mohd Akmal turut merasmikan Aktiviti Pengumpulan Buangan Elektrik Dan Elektronik (E-waste) dan melepaskan benih ikan air tawar di sungai berdekatan.