Selamat bersara Dr Ding Lay Ming!
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 1343
IPOH : Hari ini merupakan hari terakhir YBhg. Dato’ Dr. Ding Lay Ming bertugas sebagai Pengarah Kesihatan Negeri Perak setelah berkhidmat selama 34 tahun 6 bulan dalam perkhidmatan awam dan selama 4 tahun sebagai Pengarah Kesihatan Negeri Perak.
Majlis Serahan Tugas Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah dilangsungkan secara ringkas di Dataran D’Mesra, Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) pada 22 April 2022 lalu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga JKNP di atas kerjasama dan sokongan kepada saya selama empat tahun nberkhidmat di Jabatan ini.
“Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan dalam memimpin Jabatan Kesihatan Negeri Perak”, katanya menerusi ucapan ringkasnya menerusi ciapan laman rasmi Facebook JKNP.
Majlis ini juga menyaksikan upacara penyerahan tugas kepada penyandang sementara Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Ummi Kalthom Shamsudin, yang akan menggalas tugas Pengarah Kesihatan Negeri, JKNP.
Sementara itu beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengamal media negeri Perak menerusi kumpulan WhatsApp Jabatan Kesihatan Media Perak.
“Dengan rendah diri saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan dan kerjasama rakan-rakan media negeri Perak kepada saya dalam menjalankan tugas saya.
“Kita telah berkerjasama dengan sebaik mungkin dalam mengharungi cabaran pandemik Covid-19 dan disebabkan itu, kita kini telah melangkah keluar ke fasa endemik dengan rasa lebih baik dan yakin”, katanya sebelum mengundur diri dari kumpulan WhatsApp JKNP Media Perak.