IPOH- Perak Pass Plus (PPP) bakal menjadi aplikasi pelancongan rasmi negeri Perak selaras dengan kepentingan digitalisasi sebagai platform mempromosikan produk usahawan dan pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohamed Radzi berkata aplikasi PPP yang dibangunkan dengan kerjasama Tourism Perak dengan Tourplus Technology Sdn. Bhd merupakan kesinambungan daripada Perak Pass yang dibangunkan secara ‘web-based’ pada 12 Mac 2022 di Setia City Mall yang lalu.

“Pembangunan PPP, menjadi strategi serampang dua mata selain daripada membantu mempromosikan industri pelancongan negeri Perak, ia juga dapat meningkatkan ekonomi pengusaha tempatan.

“Menerusi aplikasi PPP ini semua aktiviti promosi dapat dilaksanakan melalui digital dengan lebih mudah dan pantas. Ia berfungsi sebagai ‘booking engine’ sepertimana Booking.com, Agoda dan Lazada, tetapi ianya hanya memfokuskan kepada produk pelancongan di negeri Perak sahaja.

“Selain memudahkan para pelancong mendapatkan maklumat produk pelancongan, PPP menawarkan pelbagai pilihan perkhidmatan antaranya tempahan hotel, perhidmatan pengangkutan awam, baucer urutan spa, baucer makanan dan berbagai lagi”, katanya kepada media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Momorandum Persefahaman (MOU) antara Tourism Perak dan Tourplus Technology Sdn. Bhd. di Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini semalam.

MOU itu telah ditandatangani di antara Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dengan Pengasas/ Ketua Eksekutif Tourplus Technology Sdn. Bhd., Rickson Goh.

Aplikasi PPP dijangka boleh digunakan sepenuhnya oleh orang ramai bermula 31 Mei 2022 dan boleh dimuat tutun menerusi Apple App Playstore, Goole Playstore dan Huawei App Gallery.

Menurut Nolee, semua pengusaha produk pelancongan di negeri Perak layak menyertai PPP secara percuma dengan caj komisen yang rendah bagi setiap transaksi.

“Caj komisen bagi 100 transaksi pertama adalah 0%. Caj komisen hanya akan dikenakan pada transaksi yang ke 101 dan seterusnya sebanyak 6% hingga 15%.

“Fasa pertama, kita mensasarkan seramai 50,000 pengusaha menyertai aplikasi PPP menjelang penghujung tahun 2022. Selain meningkatkan peluang ekonomi, ia juga berupaya mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan negeri ini”, ujarnya.