IPOH - Isu operasi kutipan sampah yang tidak mengikut jadual di beberapa kawasan di bandaraya ini sehingga menimbulkan rungutan orang ramai mendapat perhatian Datuk Bandar Ipoh.

Ini kerana operasi kutipan sampah yang tidak teratur turut mengundang masalah kebersihan.

Berikutan itu, mulai bulan depan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menamatkan khidmat syarikat konsesi sedia ada sebelum diambil alih syarikat baharu untuk melaksanakan kerja-kerja kutipan sampah domestik.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya mengambil maklum masalah tersebut dan merangka langkah jangka panjang serta jangka pendek.

"Masalah dihadapi pihak konsesi ialah ketiadaan pekerja antaranya kekurangan pekerja asing.

"Difahamkan kekurangan pekerja merencatkan operasi kutipan sampah, tetapi perkara sini sepatutnya dapat diatasi.

"Begitu juga dengan masalah lori sampah yang tidak mencukupi selain kerap rosak, jadi sebagai penyelesaian kita akan melantik konsesi sementara," ujarnya di sini.

Isu kutipan sampah oleh syarikat konsesi masih tidak selesai menyebabkan timbul rungutan dalam kalangan warga bandar raya ini apabila longgokan sampah dibiarkan tidak dikutip sehingga beberapa hari.

Mengulas lanjut kata Rumaizi, bagi penyelesaian jangka panjang pula Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengambil alih operasi kutipan sampah daripada syarikat konsesi yang ditamatkan.

Katanya, untuk itu sebanyak empat buah lagi lori sampah baharu akan diterima MBI pada bulan Jun.

Dalam pada itu kata Rumaizi, jumlah kutipan sampah domestik dijangka bertambah 15 peratus sepanjang cuti Aidilfitri nanti berbanding kira-kira 500 tan sehari.

"Operasi kutipan sampah berjalan seperti biasa sepanjang cuti Aidilfitri nanti dan kita juga telah membuat persediaan agar tidak berlaku gangguan jadual," ujarnya.