IPOH - Bandaraya Ipoh bakal berada dalam kelas tersendiri apabila dicadangkan untuk pencalonan sebagai UNESCO Creative City Network (UCCN) atau Bandar Raya Kreatif menerusi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ia merupakan salah satu sasaran dalam Pelan Tindakan Penjenamaan Pelancongan Wilayah Greater Ipoh 2025.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud berkata, cadangan ini untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar yang paling berdaya huni di Malaysia dengan kualiti hidup yang baik dan sesuai untuk didiami semua peringkat usia.

Menurut beliau, ia bertujuan menempatkan kreativiti dan industri budaya sebagai rencana utama pembangunan pada peringkat tempatan.

"Ini termasuk menjalin kerjasama aktif di peringkat antarabangsa melalui perkongsian inisiatif, idea, pengalaman dan amalan terbaik.

"Melalui program UCCN, bandar-bandar yang diiktiraf komited untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam membangunkan model 'public private partnership' dan komuniti awam yang boleh dimanfaatkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mei 2022 di Dewan Majlis Mesyuarat MBI hari ini.

Mengulas lanjut kata Rumaizi, manfaat berkenaan pula terbahagi kepada beberapa tujuan antaranya emperkuat penciptaan (creation) produk dan penyebaran kegiatan budaya, aset dan perkhidmatan.

Tujuan seterusnya ialah mengukuhkan imej bandar untuk tujuan pelancongan, pelaburan dan perniagaan.

"Juga bagi mengembangkan hubungan kreativiti dan inovasi dan memperluas peluang pengamal dan profesional dalam sektor budaya.

"Tidak ketinggalan meningkatkan akses dan partisipasi dalam kehidupan budaya, khususnya untuk kelompok dan individu yang terpinggir (margenalise).

"Agenda seterusnya ialah mengintegrasikan budaya dan kreativiti sepenuhnya ke dalam rancangan pembangunan secara mapan," ujar Datuk Bandar.

Setakat tahun 2021, sebanyak 247 bandar di dunia telah mendapat status UCCN.

Daripada jumlah itu, 12 mewakili ASEAN manakala Bandaraya Kuching telah dinobatkan sebagai UCCN melalui tema Gastronomy (Makanan) pada tahun 2021.